KUCHING: Kerajaan Sarawak dan kerajaan Indonesia terus komited untuk mengekalkan jalinan kerjasama yang erat bagi merancakkan aktiviti ekonomi kedua pihak.
Menurut Timbalan Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, hubungan yang rapat itu juga untuk meningkatkan penglibatan perusahaan besar termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang merangkumi pelbagai sektor.
“Kita juga membincangkan bagaimana kita dapat bekerjasama dari segi meningkatkan penglibatan kedua belah pihak dalam aktiviti ekonomi dan perusahaan besar.
“Ia bukan sahaja melibatkan perusahaan besar tetapi untuk dimanfaatkan oleh perusahaan kecil dan sederhana dari kedua belah pihak yang merangkumi pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada Ikatan Saudagar Muslim Se-Indonesia (ISMI) di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan bahawa penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Pontianak, Indonesia dijangka dibina pada tahun hadapan.
Jelas Datuk Amar Awang Tengah lagi, perbincangan secara menyeluruh akan diadakan melalui perjumpaan dengan Sarawak Bumiputera Chamber of Commerce dan pertubuhan perdagangan serta perusahaan di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) Sarawak, Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Agung Ikatan Saudagar Muslim Se-Indonesia (Pusat), Juliana Wahid dan Setiausaha Agung Ikatan Saudagar Muslim Se-Indonesia (Wilayah), H. Sukuryanto. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS